Sunday, 24 July 2011

Lidah la Jadi penyelamat

“ Wahai sekali umat Islam, kamu mampu untuk menghapuskan kesalahan dan dosamu ketika kamu sedang duduk di rumahmu, ketika kamu berada di atas tilammu, ketika kamu sedang memandu kereta, ketika kamu berada di atas meja bacaanmu, ketika kamu sedang berjual beli. Amatlah mudah untuk kamu melakukannya dengan berzikir mengingati Allah Taala.
Sabda Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam dan pesanan ini merupakan hadis terakhir yang dimuatkan dalam Kitab Shahih Bukhari;
“ Dua kalimah yang ringan di atas lidah, berat pada timbangan amal, di cintai di sisi Tuhan Yang Maha Pemurah: Subhanallahi wa bihamdihi, Subhanallahil ‘Aazim”
Maha Suci Allah dengan kepujiaanNya. Apakah bahagian kamu darinya? Adakah lidah kamu berzikir dengan tasbih ini? Adakah tidak cukup janji Allah bagimu ‘dua kalimah yang ringan di atas lidah, berat pada timbangan’?. Alangkah sangat berhajatnya aku dan kamu semua – Demi Allah - dengan satu amal kebaikan apabila diletakkan pada neraca timbangan, lalu menjadi berat timbangan tersebut. Amalan tersebut pada gengaman kamu wahai Muslimin ‘ berat pada timbangan amal’ dan apa yang paling besar, paling indah, paling diidamkan adalah sabdanya; ‘ dicintai di sisi Tuhan Yang Maha Pemurah’
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
Wahai sekalian hamba Allah, mengapakah Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam mengatakan dua kalimah yang ringan di atas lidah? Ketahuilah, sesungguhnya anggota yang paling ringan pada jasadmu adalah lidah. Sesuatu yang paling ringan pada jasad sehinggakan ia lebih ringan dari mata. Sehinggakan seseorang disebabkan ringan lidahnya, tidak merasa penat menggerakkan lidahnya dengan berbicara berjam-jam lamanya. Tidak letih lidahnya. Subhanallah!!! Subhanallah!!
Lidah ini adalah sebagaimana yang disebut dalam hadis: “ Tiadalah manusia itu dihumbankan mukanya atau sabda Baginda dihumbankan hidungnya ke dalam api neraka melainkan disebabkan hasil tanaman lidah-lidah mereka”
Sekarang, lidah ini adalah yang paling ringan. Ketahuilah, apabila datangnya saat kematian, ketika nyawa sudah sampai ke halkum, sesungguhnya anggota yang paling berat bagimu adalah lidah. Sehinggakan seseorang cuba untuk menyebut dengan lidahnya kalimah ‘lailahaillallah’, ketika itu lidahnya menjadi lebih berat daripada bukit.
Mengapa? Kerana lidahnya tidak biasa dibasahkan dengan zikir kepada Allah. Dia membasahkan lidahnya dengan nyanyian, perkataan lucah, perkara yang sia-sia daripada kehidupan dunia; sibuk berbicara soal dunia dan tidak berzikir mengingati Allah melainkan terlalu sedikit.
Kemudian, apabila tiba kepadamu saat kematian, kamu cuba untuk melafazkan kalimah ‘lailahaillallah’ sedangkan ketika sihat kamu tidak berzikir kepada Allah?
Datang seorang lelaki bertemu Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam seraya berkata: wahai Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam, wasiatkanlah aku? – berikanlah nasihat kepadaku - . Sabda Rasululullah Sollallahu’alaihiwasallam; “Sentiasakanlah basahkan lidahmu dengan zikir kepada Allah”…. ambillah wasiat ini, pulang nescaya ia cukup bagimu…
Lidah kamu hendaklah sentiasa basah dengan Zikrullah. Apabila lidahmu telah terbiasa dengan zikrullah, mudahlah bagimu untuk membaca Al-Quran. Bahkan, tidak memadai kamu membaca hanya satu juzuk sehari. Selepas sejuzuk bertambah kepada dua juzuk. Kemudian tiga juzuk dan seterusnya.
Berkata sebahagian salaf: “ Sekiranya hati kita bersih, nescaya kita tidak akan merasa kenyang dengan Al-Quran”
Aku memohon kepada Allah supaya menggolongkan kita semua dalam golongan orang yang suci hatinya, bersih jiwanya dan lidahnya sentiasa bergerak dengan berzikir kepada Allah Taala, amin....

No comments:

Post a Comment